M Update, 26/12/2019 – “Hari ini kami sekeluarga sepatutnya menyambut kepulangan mak dan ayah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, namun yang ‘pulang’ hanya barang-barang mereka saja.”
Demikian luahan Nor Shuhada Ismail, 38, anak kepada pasangan Ismail Latif, 66, dan Rohani Dollah, 60, yang meninggal dunia di Madinah ketika mengerjakan umrah. Katanya, lebih menyedihkan, bapa mereka meninggal dunia di hotel jam 11 pagi waktu tempatan pada Isnin lalu selepas demam lima hari, sebelum ibu pula menghembuskan nafas terakhir jam 2 petang waktu tempatan semalam iaitu tiga jam sebelum berlepas pulang ke tanah air.
“Ayah meninggal dunia pada hari lahir ibu dan sebelum berangkat ke Makkah, besar harapan ayah untuk menyambut hari lahir ibu di tanah suci.
“Ini ujian berat buat kami sekeluarga kerana kehilangan kedua ibu bapa sekelip mata. Mereka bertolak ke Makkah pada 15 Disember dalam keadaan sihat dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa jam 3 petang hari ini.
“Kematian ayah dimaklumkan sepupu kami, Noranito Taib, 50, yang turut sama mengerjakan umrah. Kami dimaklumkan mak mengalami tekanan darah tinggi selepas terkejut dengan kematian ayah.
“Selepas ayah meninggal dunia, mak seperti hilang semangat sehingga tidak makan dan ketika bersiap mahu ke lapangan terbang untuk pulang, mak tiba-tiba rebah dan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Tunjung, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Nor Shuhada, berkata ibu bapa mereka sangat erat dan sering bersama jika pergi ke mana-mana.
“Bayangkan jika mak ke dapur pun ayah akan turut sama berada di dapur. Kami tidak menyangka akhirnya mereka pergi pun bersama-sama iaitu hanya selang dua hari.
“Ini umrah pertama mak dan ayah. Mereka begitu teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah dan hampir setiap hari akan berhubung bertanyakan khabar anak-anak di sini.
“Setiap kali ayah WhatsApp, ayah sentiasa pesan supaya kami 10 beradik duduk dengan baik sepanjang ketiadaan mereka dan menjaga rumah dengan elok. Rupanya itu amanat ayah yang terakhir buat kami,” katanya.
Katanya, walaupun sedih dengan kehilangan kedua ibu bapa apatah lagi ketika berangkat kedua-dua mereka sihat, namun mereka sekeluarga reda memandangkan ibu dan bapanya meninggal dunia di tanah suci. – BH Online