M Update, 24/2/2020 – Seorang wanita dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret semalam kerana memuat naik status Facebook berbaur memfitnah dua anggota polis meminta rasuah, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nurfarhana Roslan, 26, dari Kampung Binjai Berambu, Kepong, di sini turut berdepan hukuman lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Keputusan dibuat Majistret Nordiana Abd Aziz selepas tertuduh mengaku salah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dua anggota berpangkat Lans Koperal itu kira-kira jam 5 petang di Facebook milik Anna Farhana, pada 23 Mei 2017.
Wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memfitnah Lans Koperal Noor Zailani Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Izuan Abdullah dengan memuat naik status di Facebook Anna Farhana dengan menyatakan dua anggota polis berkenaan meminta duit untuk merasuah yang mana tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik kedua-dua anggota polis terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala wanita itu tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, kedua-dua anggota terbabit menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Kuala Terengganu dengan menaiki kenderaan pasukan, jam 11 malam, pada 22 Mei 2017.
Pada 23 Mei 2017, jam 4.30 pagi, kedua-dua anggota ini menahan tertuduh bersama seorang lelaki selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta. Selepas pemeriksaan ke atas tertuduh dan lelaki itu mendapati mereka adalah pasangan suami isteri namun didapati suaminya tidak memiliki lesen memandu.
Setelah amaran serta nasihat diberikan, anggota berkenaan terus beredar tanpa mengeluarkan sebarang surat saman kepada mereka. Bagaimanapun, kira-kira jam 5 petang, hari sama (23 Mei 2017), anggota terlibat ternampak satu status Facebook yang memfitnah mereka dengan menyatakan bahawa mereka meminta duit untuk merasuah.
Tidak berpuas hati dengan tindakan itu yang telah mencemarkan nama baik mereka, satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut. – SH Online