M Update, 6/3/2020 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia 3 tahun yang hilang di ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, di Sri Aman, sejak semalam, masih buntu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi hari kedua hari semalam membabitkan unit anjing pengesan (K9). Katanya, Selain 10 anggota bomba, operasi dibantu 11 anggota polis, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 14 anggota Jabatan Relawan Malaysia (RELA), lapan kakitangan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta 30 penduduk kampung.
“Operasi SAR semalam bermula jam 9 pagi di dalam kawasan ladang sawit, sungai dan di cerun bukit dan dipecahkan kepada lima pasukan pada radius kira-kira enam kilometer keliling. “Sepanjang pencarian, belum ada tanda-tanda kanak-kanak itu dikesan. Berikutan itu operasi tangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula esok,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit, Patrcik Igih Mohd Taufik mengikut datuk dan bapanya yang mengiringi kaki tangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) melakukan kerja pemasangan papan tanda pada pokok di dalam hutan bersebelahan ladang kelapa sawit itu. Berikutan laluan pendakian menuju ke tempat pemasangan papan tanda itu agak tinggi, kanak-kanak itu ditinggalkan di sebuah pondok kecil dengan hanya berbekalkan sebotol susu, kira-kira 9.30 pagi, semalam.
Selepas menghantar satu papan tanda ke lokasi pemasangan di atas bukit yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari pondok tempat kanak-kanak itu ditinggalkan, datuknya kembali semula untuk mengambil satu lagi papan tanda. Ketika itu datuknya menyedari kanak-kanak itu tiada lagi di pondok berkenaan beberapa saksi mendakwa ternampak kanak-kanak itu berjalan sendirian ke tempat motosikal bapanya diletakkan.
Laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak itu kemudiannya dibuat ahli keluarganya dan bomba menerima maklumat itu pada 2.33 petang sebelum gerakan SAR diaktifkan. – HM Online