M Update, 12/3/2020 – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tekad meneruskan agenda Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, kerajaan kekal komited memastikan pertahanan negara terus diperkukuh dan diperkasakan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang seperti yang digariskan dalam KPP. KPP akan menjadi panduan utama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam membuat sebarang perancangan dan pelaksanaan.
“Ini adalah bukti kerajaan yang baru terbentuk ini matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi. “Pertahanan negara adalah satu agenda tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPP bertajuk ‘Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur’ dibentangkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 2 Disember tahun lalu dan diluluskan oleh Dewan Rakyat. KPP membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan ATM, pengukuhan pertahanan secara komprehensif melalui pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat serta perkongsian berwibawa dengan negara luar. Perhatian terhadap kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga awam bertugas di MINDEF juga akan terus diberi keutamaan.
“Saya berharap warga MINDEF memberi kerjasama penuh dan sokongan padu kepada saya dan timbalan (Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz) dalam menguruskan pertahanan negara.
“Saya percaya dengan khidmat dan nasihat Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta semua peringkat kepimpinan, kami dapat melaksanakan tugas dengan berkesan demi negara yang tercinta,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba pada jam 9.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak di sini untuk memulakan tugas rasminya hari ini. Ketibaan beliau disambut timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas rasminya hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang serta panglima-panglima perkhidmatan.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan kemudiannya menerima tabik hormat kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi. Sebaik tiba, beliau mengimbas kad sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian. – BH Online