M Update, 1/4/2020 – Individu termasuk ahli keluarga yang cuba menyembunyikan maklumat mereka yang mempunyai kaitan dengan kluster COVID-19 akan dikenakan tindakan tegas.
Amaran keras dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sambil menegaskan sudah sampai masanya untuk kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang enggan bekerjasama bagi membendung penularan wabak itu. Katanya, tindakan tegas itu sudah dimulakan semalam dan polis akan menggiatkan usaha mengesan mereka yang mempunyai kaitan dengan kluster COVID-19 khususnya membabitkan peserta tabligh.
“Setakat ini kita mengesan seramai 10,000 orang dan mereka ini sudah membuat saringan tetapi kita juga tidak mempunyai senarai sebenar mereka yang terbabit.
“Oleh demikian, kami meminta mereka keluar membuat saringan dan jika ada sesiapa termasuk ahli keluarga yang tahu situasi itu perlu memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas bentuk tindakan tegas itu tetapi memberitahu, sudah sampai masanya untuk polis mengambil perhatian yang lebih serius memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan sudah melebihi dua minggu.
“Kita tidak boleh mengkaji seorang demi seorang yang ada kontak dengan kluster tabligh ini, jadi kita mohon pada mereka terutamanya ahli keluarga untuk keluar buat saringan.
“Contoh dia tahu dalam keluarga, ada yang positif atau menghadiri himpunan tabligh, jadi secara kerjasama pergi buat saringan. Ini adalah amaran pertama dan kita akan ambil tindakan tegas jika tidak beritahu selepas ini atau cuba menyembunyikan maklumat itu,” katanya. – BH Online