M Update, 27/4/2020 – Malaysia belum merekodkan sebarang kes berkaitan jangkitan semula COVID-19 dalam kalangan pesakit yang pulih.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun berkata, tiada bukti pesakit pulih sepenuhnya terlindung daripada jangkitan semula wabak itu.
Sehubungan itu beliau berkata, semua pesakit pulih perlu menjalani sesi kaunseling sebelum dibenarkan pulang bagi memastikan langkah pencegahan dan amalan kebersihan diutamakan untuk mengelak dijangkiti semula.
“Walaupun (pesakit pulih sepenuhnya) ada respons antibodi Immunoglobulin M (IgM) dan Immunoglobulin G (IgG) tetapi ia tak melindungi mereka daripada dijangkiti semula COVID-19.
“Tiada bukti mereka dilindungi daripada jangkitan semula, selain besar kemungkinan keadaan ini boleh berlaku,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan antibodi pesakit pulih jangkitan COVID-19 tidak melindungi mereka daripada dijangkiti semula. – BH Online