M Update, 24/7/2020 – Pejabat Kesihatan Tawau menafikan kesahihan beberapa mesej tular di media sosial berkaitan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah di Tawau.
Mesej itu dipercayai mula tersebar sejak kelmarin berikutan seorang anggota Jabatan Penjara Tawau, yang disahkan positif wabak berkenaan Selasa lalu.
Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran berkata, semua teks tular itu tidak betul dan menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebarkan berita yang tidak sahih itu kerana ia mengundang panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, sebaik disahkan positif Covid-19 awal minggu ini, pihaknya segera melakukan ujian saringan kesihatan ke atas semua ahli keluarga penjawat awam berkenaan.
“Hasil keputusan ujian yang diperoleh mendapati semua ahli keluarga termasuk isteri dan anak anggota terbabit negatif dan mereka menjalani dikuarantin di rumah manakala mangsa kini dirawat di wad hospital Tawau,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Tawau, hari ini.
Mengulas lanjut, Navindran turut menasihat ibu bapa supaya tidak menghalang atau menyekat anak masing-masing untuk ke sekolah kerana tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah ketika ini sangat baik.
Katanya, selagi orang ramai mengamalkan SOP yang betul termasuk, pemakaian pelitup muka, cecair sanitasi, penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan, ia akan membantu mengurangkan risiko jangkitan.
“Kepada semua masyarakat di Tawau sila ikut SOP dan jangan kerap keluar rumah tanpa urusan, kalau pergi berbelanja pergi waktu tidak ramai orang dan jika perlu pergi secara bersendirian,” katanya. – HM Online