M Update, 3/9/3030 – Semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat perlu dipupuk sepanjang masa dan bukannya bermusim, kata angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
Beliau berkata semangat itu haruslah dididik sejak kecil seawal usia empat tahun dan berterusan.
“Saya rasa penghayatan nasionalisme dalam kalangan remaja dan rakyat Malaysia amat membanggakan tetapi masalahnya ia cuma pada hari-hari tertentu contohnya pada Hari Kebangsaan barulah nak tampal bendera, ini tidak seharusnya berlaku kerana kita seharusnya punyai semangat nasionalisme dan patriotik kepada negara sepanjang tahun.
“Kita kena ada jiwa patriotisme bukan hanya pada fizikal tetapi lebih kepada minda, kita harus menukar paradigma minda seseorang supaya sentiasa patriotik, jadi inilah cabaran yang harus kita lakukan dan kita kena didik daripada tadika atau umur empat, lima tahun untuk semaikan semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak kita,” katanya dalam satu temu ramah khas di Bernama Radio semalam.
Mengulas mengenai penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara, Dr Sheikh Muszaphar berkata kelima-lima prinsip itu amat penting bagaimanapun, prinsip yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan adalah antara yang perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat untuk menjadi rakyat Malaysia yang berjaya.
“Kalau tengok kelima-lima ciri tersebut amat penting, bagi saya, saya suka yang terakhir iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, kalau anda ingin berjaya anda harus mempunyai etika yang kukuh dan sifat atau adab merendah diri, tatasusila yang tinggi barulah orang akan menerima anda…jadi bagi saya amat penting prinsip Rukun Negara yang kelima ini dan harus disemai dalam semua masyarakat di luar sana,” katanya.
Berkongsi pengalamannya sewaktu berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007 dan cara beliau menzahirkan semangat patriotisme serta penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara, Dr Sheikh Muszaphar berkata selain mengibarkan Jalur Gemilang beliau juga membawa Jata Negara.
“Saya sebenarnya membawa bendera Malaysia ke angkasa lepas, ia satu memori yang begitu membanggakan ketika saya kibarkan bendera Malaysia, saya juga bawa Jata Negara ke ISS dan saya tampal di satu sudut di ISS, jadi itu adalah satu memori yang sukar saya lupakan dan ia (Jata Negara) sentiasa ada di angkasa lepas,” katanya.
Sumber : BERNAMA