M Update, 23/11/2020 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur menerusi pemasangan lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu.
CCTV dilengkapi ciri Kecerdasan Buatan dengan teknologi pengecaman wajah itu akan membolehkan kerja pemantauan dan kawalan di dalam serta luar pasar borong di Selayang itu dibuat dengan lebih rapi. Ini kerana masih dapati terdapat peniaga berniaga di tempat terlarang secara curi-curi dengan berniaga di luar pagar pasar borong dan laluan pejalan kaki yang menghalang lalu lintas membabitkan peniaga dalam kalangan Pati.
Bukan sahaja di dalam pasar borong, CCTV dipasang di sekeliling kawasan luar pasar borong untuk pemantauan penguat kuasa DBKL, kita akan terus perbaiki dari semasa ke semasa,. – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa
Dalam pada itu, Annuar berkata, pembinaan kemudahan asrama dengan lebih 200 katil untuk pekerja pasar borong itu siap sepenuhnya dan dijangka boleh digunakan mulai bulan depan. Pihaknya akan membuka tawaran dan berunding dengan pemegang lesen (peniaga pasar) untuk membahagikan kuota tempat pekerja yang memerlukan kemudahan itu kerana tiada tempat tinggal atau sewa sekarang mahal.
Katanya, kemudahan itu bakal menawarkan sewa serendah RM150 sebulan selain memudahkan pekerja pasar untuk berulang-alik ke tempat kerja, sekali gus menarik pekerja tempatan termasuk dari luar ibu negara.
Terdahulu, Annuar meluangkan masa kira-kira sejam meninjau transformasi pasar borong itu yang kini lebih selesa, bersih, ceria dan bebas pekerja asing menerusi pelaksanaan penambahbaikan daripada aspek pengurusan dan tadbir urus. Antara transformasi dan naik taraf dilakukan ialah tambahan stesen kerja bilik kawalan, pas pemborong dan pekerja menggunakan imbasan kod QR, pagar, serta kawasan tempat letak motosikal.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa