M Update, 23/12/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meneliti cadangan berkaitan pelaksanaan Inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN), seiring perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata kerajaan memahami isu dihadapi orang ramai yang dikehendaki mengemukakan kad pengenalan bagi urus niaga tertentu termasuk ketika berurusan di JPN.
“IDN adalah platform pengesahan yang boleh dimanfaatkan oleh individu, sektor awam dan swasta untuk pengesahan identiti pengguna ketika melakukan transaksi secara digital.
“Bagaimanapun, inisiatif IDN ini tidak akan menggantikan penggunaan dan fungsi MyKad fizikal, malah akan memperkukuhkan pelaksanaan dan keselamatan MyKad sedia ada,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, urus niaga yang dijalankan dalam talian dijangka menjadi lebih selamat selain menangani isu keperluan untuk pelanggan menyertakan salinan MyKad kerana ada elemen semak dan imbang identiti melalui pengesahan biometrik secara digital oleh JPN.
Menyentuh cadangan menukar atau menambah baik kad pengenalan sedia ada bagi membanteras isu pemalsuan, Ismail berkata, MyKad sedia ada mempunyai ciri keselamatan bermutu tinggi dan terjamin daripada ancaman sindiket pemalsuan.