M Update, 04/03/2021 – Pemandu treler yang melanggar jejambat dalam pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) didapati positif dadah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata, suspek berusia 40 tahun didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi.
Menurutnya, pada kejadian itu, pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman. Dua lagi penumpang van Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri.
“Mangsa yang meninggal dunia adalah Nurina Edwin Abdullah,47, dan Norhayati Abdullah,42,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler itu yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Sebaik tiba di lokasi, ia melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki dan menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di dua-dua laluan MRR2 sebelum menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS).
Semasa kejadian van itu dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies, USJ 1. Pemandu treler itu ditahan dan akan direman mengikut sek 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – HM Online