M Update, 31/03/2021 – Pasangan popular, Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29, mengesahkan bakal diijabkabulkan, namun enggan mendedahkan tarikh pernikahan mereka.
Memilih sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka untuk majlis akad nikah dan resepsi, pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad dan Perempuan Tanpa Dosa dijangka mengadakan tiga majlis resepsi, tidak lama lagi.
Uqasha berkata, persiapan untuk majlis perkahwinan sudah hampir 80 peratus siap. Majlis pertama khas untuk keluarga, teman rapat dan media, manakala majlis kedua pula untuk rakan artis. Majlis ketiga pula diadakan untuk meraikan peminat yang banyak menyokong mereka.
“Alhamdulillah, persiapan majlis perkahwinan kami dipermudahkan. Setakat ini, persiapan untuk majlis pertama sudah hampir 80 peratus siap. Selepas penggambaran Rindu Awak Separuh Nyawa selesai, saya akan memberikan fokus kepada perniagaan. Selepas itu, barulah saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada majlis perkahwinan.
Mengikut perancangan, kami memilih sebuah pusat peranginan tanah tinggi untuk diijabkabulkan. Dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19, kami berharap keadaan semakin baik dan tiada masalah untuk aktiviti merentas negeri.
“Bagaimanapun, perancang perkahwinan sangat menitik beratkan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Tetamu untuk setiap majlis sangat terhad bagi tidak melanggar SOP, malah lokasi pertama hanya 350 tetamu yang dibenarkan,”
Berkongsi pemilihan pusat peranginan di tanah tinggi, Uqasha berkata, mereka memilih mengadakan majlis akad nikah di pusat peranginan kerana cuaca dingin yang disifatkan. Ia sangat sesuai untuk majlis perkahwinan impian saya dan Kamal berkonsepkan taman dan ‘outdoor’. Saya mahukan sesuatu yang berbeza sebagai momen indah dalam hidup. – BH Online