M Update, 04/05/2021 – Tindakan pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa yang hangat diperdebatkan netizen berikutan dakwaan merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan harus dipandang serius pihak berkuasa.
Aktivis dan peguam, Asiah Abd Jalil menerusi hantaran di Facebook berkata, hukuman yang wajar dikenakan kepada selebriti itu mungkin tidak lagi relevan dengan hanya menerima kompaun sebagai denda.
“Kesalahan berikutnya mungkin dah tak sesuai nak kompaun. Neelofa dan laki lebai (PU Riz) dia tu perlu didakwa di mahkamah dan dihukum penjara. Minah (Neelofa) tu tak serik. Betul ke mak dia rasa sejuk masa mengandungkan dia?,” tulisnya.
Sementara itu, menerusi hantaran berasingan, Asiah turut menyifatkan tindakan Neelofa mencetuskan kontroversi seakan-akan mempunyai agenda tertentu. Menurut Asiah, selepas menerima kecaman netizen, selebriti terbabit akan muncul dengan beberapa foto aksi mesra bersama suaminya dan disusuli dengan pelancaran produk baharu.
Terdahulu, Neelofa ada memuat naik video di Instagram Story yang menunjukkan dia berada di sebuah kedai karpet yang lokasinya didakwa netizen di Nilai 3, sebelum bertindak memadamkannya.
Ternyata, bekas pengacara program MeleTop itu sekali lagi mengundang sensasi dalam kalangan warganet dengan tindakan beraninya ‘merentas negeri’ pada ketika seluruh Selangor dan Kuala Lumpur masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kebanyakan netizen di media sosial bengang dan ‘panas hati’ dengan tindakan Neelofa bersama suaminya, PU Riz meskipun mereka baharu didenda RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB ketika majlis perkahwinan yang berlangsung 27 Mac lalu.
Antara komen netizen di Twitter, mendakwa ada terlihat Neelofa dan suaminya memang berada di lokasi di Nilai 3, yang secara tidak langsung sudah merentas negeri lagi ketika PKPB. – HM Online