Saya nampak ramai benar rakyat Malaysia keliru apa sebenarnya jaga SOP. Senarai kelakuan dibawah adalah TIDAK mengikut SOP:
1. Bersalaman. Mana boleh bersalam-salam. Peluk cium lagilah. Ini TIDAK memenuhi SOP kekalkan penjarakan fizikal > 1m.
2. Makan bersama bukan dengan keluarga yang duduk serumah TIDAK memenuhi SOP penjarakan fizikal; lagi-lagi kena buka pelitup muka. Jadi, JANGAN MAKAN beramai-ramai. Apa salahnya makan seorang-seorang terutama semasa kerja. Melepak lagilah. Keluar makan ramai-ramai lagilah. Elakkan lah membuang masa macam ini. Silap haribulan dapat COVID19, lepas itu balik rumah diberikan kepada keluarga sendiri.
3. Pergi ke mall; keluar beramai-ramai. Tang mana ini ikut SOP? Bawak anak-anak kecil lagi. Kan dah bagitahu keluar bila perlu sahaja. Seorang keluar untuk beli barangan untuk makan / kehidupan asas cukup lah. Tolonglah jangan salahkan kerajaan buka mall. Mall dibuka BUKAN untuk anda engkar SOP.
4. TIDAK memakai pelitup muka dengan betul sepenuh masa bila keluar rumah termasuk semasa bekerja. Jangan sekali-kali bercakap dengan sesiapa yang tidak memakai pelitup muka. Menapak satu langkah keluar rumah pun kena pakai pelitup muka.
5. Jangan bersama-sama dengan orang lain di kawasan tertutup lebih daripada 15 minit walaupun kesemuanya pakai pelitup muka. Jika perlu sangat nak berada di situasi ini, pakai FACESHIELD.
6. Ziarah menziarah SALAH. Yang ini saya tengok merata-rata punca kes sekarang. Kan dah kata DUDUK DIRUMAH SENDIRI. Tang mana yang tidak faham. Sikap tidak apa inilah yang bermasalah. “Sekejap saja; lagi pun apa salahnya”. Kalau tidak rasa salah pada diri sendiri, rasalah bersalah kepada masyarakat Malaysia. Anda seorang TIDAK BERTANGGUNGJAWAB.
7. Sebagai TUAN RUMAH, JANGAN buka pintu kepada orang lain. Kalau buka, anda salah. Membawang lebih 15 min dengan jiran tepi pagar pun JANGAN; walaupun semua pakai pelitup muka.
8. Kalau anda tahu anda KONTAK RAPAT atau anda tidak menjaga SOP semasa keluar rumah, tinggal seorang diri. Lawat bilik ke bilik didalam satu rumah pun tidak boleh. Serupa juga jika anda PUS, iaitu anda ada kontak dengan seorang yang kontak rapat pesakit positif. Kalau tidak ada bilik sendiri, pastikan jangan rapat-rapat dengan keluarga. Makan pun berasingan.
“Kami buat ABC sebab tak nak kecilkan hati mereka”. Eh, dah kenapa nak ikut hati orang lain? Beri mereka kesedaran, terangkan apa maksud norma baru dan JANGAN BUAT. Anda selamat, keluarga anda selamat dan anda mungkin menyelamatkan mereka dan keluarga mereka juga.
Jadi, jangan tuding menuding jari. Cermin diri sendiri dahulu.
COVID19 sekarang ganas. Yang muda pun sakit tenat, masuk ICU.
Lets all change and MOVE ON. Together. Cukup-cukuplah.
Sumber : Dr Rafidah Abdullah.