M Update, 11/08/2021 – Tular di laman Twitter hari ini apabila ramai pengguna yang berkongsi kisah pembelian alat bacaan tahap oksigen, Oximeter tiruan terutamanya yang dijual secara dalam talian.
Menerusi perkongsian seorang pengguna dikenali sebagai @RifdiAmri alat tersebut dijual serendah RM16.90 dan telah terjual lebih 7,900 unit.
“Kesian dekat 7.9k pembeli, Oximeter fake (palsu) ni,” ciapnya.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi gambar Oximeter yang didakwa palsu dan tidak berfungsi seperti alat sebenarnya.
Turut disertakan adalah sebuah video yang memaparkan uji kaji yang telah dilakukan ke atas alat itu yang memaparkan ia adalah tiruan.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna turut mendakwa kebanyakan alat yang dijual dalam talian adalah tiruan kerana harganya juga tidak masuk akal.
Menurut mereka, harga sebenar Oximeter yang berfungsi dengan elok dan mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bermula RM80 dan ke atas bergantung kepada jenama dan fungsinya.
“Pastikan oximeter tu ada kelulusan Medical Device Authority (MDA ) ya, nak lagi selamat beli kat farmasi,” ciap seorang pengguna dikenali sebagai @SuhaFarinordin.
Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai @ecamoshimosh turut berkongsi kisah membeli Oximeter tiruan.
“Saya fikir yang mak saya beli ini palsu sebab hari tu uji kat ayah normal, tengok-tengok esoknya kena pergi hospital sebab tak cukup oksigen,” ciapnya.
Sumber : -K! ONLINE