Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan penguatkuasaan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang memanipulasi harga bahan makanan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membantu dengan melambakkan bekalan dalam pasaran supaya harganya dapat diturunkan.
KPDNHEP akan melakukan penguatkuasaan dengan tegas,tanpa ada kompromi kepada mereka yang ambil kesempatan memanipulasi dengan menaikkan harga sesuka hati.
MAFI dengan kerjasama KPDNHEP untuk memastikan kenaikan harga bukan disebabkan manipulasi oleh peniaga dan pemborong. Kenaikan harga juga berpunca daripada terlalu banyak rantaian bekalan dan di setiap peringkat rantaian, pihak berkaitan meraih keuntungan.
Ayam sebagai contoh, dari ladang harga sekian, pemborong dan pihak pengangkutan ada kos, kilang ayam pun ada kos. Bila sampai di sini harga sudah RM8.30 sekilogram , peniaga perlu ambil keuntungan, tak boleh salahkan peniaga kerana rantaian bekalan banyak.
Harga jualan di Pasar Tani juga perlu dipantau kerana ia diperkenalkan untuk mengurangkan pembabitan orang tengah, sekali gus menurunkan harga. Pasar Tani sepatutnya tidak berlaku banyak rantaian yang boleh dimanipulasi orang tengah kerana tujuannya dari ladang terus ke Pasar Tani dan ke meja makan.