M Update, 24/03/2022 Pengumuman Kerajaan Arab Saudi menarik balik beberapa sekatan berkaitan COVID-19 termasuk perjalanan, penjarakan fizikal, ujian antigen pantas dan kuarantin wajib bagi kemasukan ke negara itu disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, Tabung Haji dan rakyat Malaysia amnya.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu. Keputusan yang dibuat ini adalah susulan situasi COVID-19 yang bertambah baik di negara tersebut. Bagaimanapun, rakyat dan pelancong luar masih perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup.
Menerusi catatan di akaun Twitter rasmi pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi COVID-19 dan ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (PCR), sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.
Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas.
Kerajaan juga berharap lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadat umrah dan haji pada tahun ini dan masa akan datang susulan penarikan sekatan berkaitan COVID-19 tersebut. Malaysia terutama akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk melakukan terbaik demi keselamatan dan kesihatan jemaah umrah dan haji. – Bernama