M Update, 12/04/2022 – Polis menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, suspek, 42, yang cedera pada kepala ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Banting selepas melanggar penunggang motosikal kedua.
“Suspek yang juga pemandu Perodua Bezza yang videonya memandu melawan arus tular di media sosial sudah ditahan dan sampel darahnya juga sudah diambil untuk tujuan analisis alkohol dan dadah.
“Suspek ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari tempat kemalangan dan ditahan di wad kerana cedera di kepala,” katanya mengesahkan suspek tidak akan direman kerana mengalami kecederaan.
Mengulas kejadian semalam, beliau berkata siasatan mendapati ketika kejadian kira-kira jam 2.49 petang itu, penunggang motosikal jenis Honda Dash menyedari sebuah Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan dan memberhentikan kenderaannya di hadapan kereta terbabit.
Secara tiba-tiba Perodua Bezza bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan Honda Dash sehingga penunggangnya terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, selepas pelanggaran itu, pemandu Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan berkenaan sehinggalah melanggar motosikal jenis Yamaha LC135 di KM 30.1 Lebuhraya SKVE, menyebabkan penunggangnya tercampak dan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan,” katanya.
Ahmad Ridhwan meminta saksi yang melihat kemalangan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – BH