M Update, 22/08/2022 – Penyanyi kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Taiwan, Eison Chai, 40, meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh daripada bangunan stesen MRT Luzhou, New Taipei, pagi ini.
Memetik laporan portal Focus Taiwan, polis New Taipei berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi apabila Chai dilaporkan terjatuh berhampiran pintu keluar stesen MRT berkenaan.
Polis berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung insiden itu. Namun, setakat ini, tiada maklumat lanjut yang dapat dikongsikan, lapor polis dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Mendiang Chai yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Taiwan, Hitomi Wu mula menempa nama selepas memenangi pertandingan nyanyian Taiwan, Super Idol musim kedua pada 2008. – AGENSI/Berita Harian