M Update, 23/03/2023 – Permulaan takwim sesi persekolahan sebelum ini diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022, selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari tahun berikutnya ketika sesi persekolahan terkesan akibat pandemik COVID-19 melanda negara.
Berdasarkan tinjauan pembaca di Twitter yang dibuat oleh Berita Harian, 84 peratus pembaca mahu takwim sesi persekolahan kembali bermula pada Januari berbanding Mac ketika ini. Ramai warganet lebih cenderung kepada pilihan takwim sesi persekolahan bermula Januari. Sebilangannya pula berpendapat ia wajar dilakukan secara beransur-ansur termasuk dengan mengambil kira tempoh diperlu untuk menghabiskan sukatan pelajaran.
Hanya 6 peratus memilih takwim bermula Mac. Selebihnya, 10 peratus lagi tidak kisah sama ada ia bermula Januari mahupun Mac.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan semalam memberi jaminan bahawa takwim sesi persekolahan sedang menuju kembali kepada Januari. KPM sedang mengusahakan perkara itu namun ianya memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya perlu mengambil kira pelbagai justifikasi sebelum membuat keputusan mengenai bila ia dapat dimulakan semula. Selain itu, pertimbangan perlu mengambil kira beberapa episod peperiksaan terutamanya SPM agar tidak terganggu.
KPM juga perlu mematuhi Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun, selain membabitkan pengorbanan cuti. Perkara ini tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat dan akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak.