M Update, 29/03/2024 – Ketika musim perayaan, ramai pemandu mula menghiasi kenderaan masing-masing sehingga ada yang mencetuskan idea paling kreatif.
Menerusi aplikasi TikTok, seorang pengguna memuat naik video bagaimana dia menghabiskan masa selama enam jam untuk menghiasi kenderaannya dengan menggunakan lampu hiasan.
Video yang dikongsikan oleh @kaksuemeow atau nama sebenarnya Nur Aliah itu memaklumkan bahawa keretanya kini bersinar dengan lilitan lampu hiasan.
Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Syahmi Abdul Latif menjelaskan perbuatan menghias kereta dengan lampu hiasan itu sebenarnya adalah salah.
Walaupun niatnya hanya untuk menyambut Ramadan, pemilik kenderaan boleh diberi amaran supaya menanggalkan lampu hiasan berkenaan dan mengembalikan ia kepada asal atau dikenakan denda.
Apa pun, keputusan terletak pada pegawai yang bertanggungjawab. Bagi kesalahan jenis ini, denda biasanya dikenakan antara RM100 dan RM200.