M Update, 05/2024 – Bermula sesi persekolahan 2024/2025, aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi diperluas ke semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk sekolah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kolej Vokasional (KV) dan Kolej Matrikulasi.
Inisiatif yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itumelibatkan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan KPM yang beragama Islam.
Setakat ini, aktiviti itu telah dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), 185 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Menengah dan 43 SABK Rendah. Ia melibatkan seramai 12,673 guru dan 120,489 murid menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang.
Inisiatif ini adalah cerminan komitmen besar KPM untuk memartabatkan syiar Islam dan pada masa sama melahirkan modal insan yang berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia.
Hadis 40 Imam Nawawi yang dibangunkan selaras dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan syarah atau kupasan hadisnya sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.