M Update, 20/05/2024 – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram perlu berjauhan dari liang lahad penghuni kubur awam yang lain.
Keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad. Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu.
Tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek. Selain itu, jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.
Jenazah hanya hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
Menurut Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor lagi, fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
Jawatankuasa Fatwa juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya.
Jenazah suspek telah dikebumikan pada jam 12.30 tengah tadi di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Johor. Pengebumian bagaimanapun hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang memantau keadaan sekitar.
Media juga dihalang pihak berkuasa untuk membuat liputan serta mendekati khemah perkuburan yang disediakan.