Input your search keywords and press Enter.

Kes Bunuh Farah Kartini: Penjawat Awam Direman 7 Hari

M Update, 16/07/2024 – Seorang penjawat awam direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di sebuah Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor semalam.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas permohonan reman terhadap suspek dibuat oleh pihak polis.

Terdahulu, suspek berusia 26 tahun itu dipercayai teman lelaki mangsa tiba di mahkamah dibawa menaiki kenderaan polis kira-kira jam 8.51 pagi sebelum dibawa keluar sejam kemudian. Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Penahanan itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus.

Mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ditemui ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim.

Allahyarham Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.