M Update, 19/08/2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Beliau berkata ada dalam kalangan mereka yang sanggup mencerca usaha murni berkenaan, sedangkan ia merupakan tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
Lebih menyedihkan, ada yang meminta Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Palestin berikutan perhatian yang diberikan terhadap usaha menyediakan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera, di negara ini.
“Kezaliman Israel menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi (dan) wanita, malah baru-baru ini lelaki dipenjara, ada yang diperkosa, kemudian kita bawa balik, itu pun dicerca, ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.
“Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh. (Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu … banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata tidak cukup dengan itu, “pihak sebelah sana” juga, langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ataupun menzahirkan tahniah kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya melabel kerajaan sebagai ejen Yahudi, ejen Amerika Syarikat dan ejen Israel.
Namun, apa yang menghairankan Anwar adalah ada penjawat awam yang “terpukau” dengan dakwaan dan tindakan seperti itu, yang disifatkan beliau sebagai pandangan buruk dan kusut yang dilemparkan sesuka hati.
“Saya harap bukalah minda kita sedikit, ini negara pertama di Asia lakukan (beri rawatan kepada rakyat Palestin), sebab apa kita jadi negara pertama di Asia lakukan? Kerana barisan Jemaah Menteri, kerajaan negeri sepakat dalam Kerajaan Perpaduan untuk sama-sama jalankan tanggungjawab bersama,” katanya.
Berhubung kritikan mengenai langkah kerajaan menggunakan pesawat TUDM dalam operasi itu dan bukannya penerbangan komersial, Perdana Menteri berkata ia dibuat atas faktor risiko keselamatan terutamanya membabitkan kawasan di sempadan Mesir.
“Kita ambil (rakyat Palestin) di sempadan, kena runding dengan kerajaan Mesir, syaratnya mesti bawa tentera udara, kena ada kelengkapan (kerana) ada risiko. Rakyat Palestin tahu risikonya, mungkin ditembak peluru berpandu Israel, jadi orang-orang di dalam pesawat itu, misalnya ibu iringi anaknya tahu akan risiko,” kata beliau.
Anwar berkata kebenaran untuk membawa rakyat Palestin itu juga antara lain disebabkan hubungan erat Malaysia dan Mesir, serta beberapa negara Timur Tengah yang lain.
“Saya telefon Presiden Mesir minta kerjasama kerana tak mungkin kita dapat bawa mereka ke sini jika tiada kerjasama dengan Mesir. Ini baiknya kerana kita ada hubungan baik dengan Qatar, Mesir, Arab Saudi, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Iran, itu yang membolehkan kita laksanakan operasi ini,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dengan sedikit kemampuan dikurniakan kepada negara ini, selain nikmat keamanan, Malaysia mampu membantu rakyat Palestin yang menerima seksaan dan malapetaka kerana kezaliman Zionis.
“Ini tanggungjawab kecil yang kita laksanakan, yang upaya kita lakukan, kalau tanya saya syukurlah kepada Allah SWT kerana kita ada perasaan ihsan, timbang rasa dan tolong ringankan beban. Berapalah sangat 40, 50 orang ini berbanding 40,000 orang yang ditembak ganas oleh Israel,” kata Anwar.
Sumber: Bernama