M Update, 19/11/2024 – Pesalah yang memiliki dadah lebih daripada sebiji di Thailand, akan ditahan sebagai pengedar atau peniaga, sekali gus dikenakan reman dalam tempoh tiga bulan atau 84 hari.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jedsadavit Ingprapan, berkata justeru kesemua enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita yang disyaki memiliki 6,000 biji pil kuda itu perlu melalui proses yang sama.
Katanya, tempoh reman yang panjang membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta meneliti maklumat dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada semua suspek mengumpul bukti jika mereka benar tidak bersalah.
Jelasnya, rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah selain dialu-alukan untuk ke Golok melalui cara yang sah agar tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
“Peniaga atau pengedar dadah boleh dikenakan hukuman penjara melebihi tiga tahun atau sepanjang hidup bergantung kepada jumlah dadah yang dirampas. Mereka yang ditahan memiliki lebih daripada sebiji dadah diklasifikasikan sebagai pengedar walaupun memberi alasan ia untuk kegunaan sendiri.
Pihaknya tidak akan berkompromi membabitkan isu global iaitu berkaitan dadah ini. Untuk kes membabitkan enam rakyat Malaysia, mereka boleh dikenakan hukuman melebihi 10 tahun penjara jika didapati bersalah.
Semakin banyak jumlah dadah yang dirampas, semakin berat hukuman yang diterima termasuk membabitkan tempoh pesalah dipenjarakan. Kesemua enam tahanan itu memberi kerjasama yang baik setiap kali siasatan dijalankan selain memahami setiap perbincangan kerana akan ada penterjermah bahasa untuk membantu dari segi komunikasi.
“Kebanyakan rakyat Malaysia yang ditahan di negara ini adalah kerana positif dadah bukan memiliki dadah mungkin kerana mereka takut memandangkan undang-undang membabitkan pengedaran bahan terlarang itu di Thailand agak ketat.
“Susulan kes ini juga, pihak polis terus mempergiatkan lagi operasi di pusat hiburan bagi mengekang masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung di Golok, khususnya.
“Selain kes dadah, antara sebab lain rakyat Malaysia ditahan adalah atas kesalahan bergaduh akibat mabuk, masuk secara haram ataupun berada di Thailand melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, enam rakyat Malaysia masing-masing tiga lelaki dan tiga perempuan ditahan di sebuah hotel di Golok, 1 November lalu.
Menerusi serbuan jam 6 pagi itu, polis turut merampas 6,000 biji pil kuda dan hasil ujian air kencing terhadap kesemua mereka adalah positif dadah. Semua suspek kini ditahan lanjut selama 84 hari di Penjara Narawathiwat. – BH