Input your search keywords and press Enter.

Vivy, Suami Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah RM8 Juta

M Update, 05/12/2024 – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah.

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM 8 juta, enam tahun lalu.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang itu ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM 100,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu kedua-dua mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur selain menyerahkan passport kepada mahkamah.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB dalam FashionValet.

Terdahulu, SPRM mengesan beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.

Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 sehingga tahun lalu.

SPRM turut dilaporkan merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada Fashionvalet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan. – BuletinTV3