Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tiada Hasrat Perkenal TVET Kepada Lepasan Darjah Enam

M Update, 12/12/2024 – Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk memperkenalkan program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan darjah enam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, meskipun terdapat negara maju telah melakukan perkara tersebut, pihaknya berpendapat cadangan pelaksanaan TVET bagi lepasan darjah enam perlu penelitian sebaiknya.

“Ada beberapa negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) umpamanya, selepas grade 6, mereka terus dimasukkan ke program TVET dan TVET jadi pilihan utama di sana. Malah banyak negara maju telah memulakan perkara itu juga.

“Tetapi biarlah kita mulakan dengan lepasan Tingkatan 3 dahulu, kemudiannya baru kita buka (kepada pelajar) selepas darjah enam nanti, kerana kita tidak mahu kejutan budaya berlaku kepada ekosistem pendidikan negara kita,” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi KKDW di Dewan Negara pada Rabu.

Terdahulu, Senator Datin Ros Suryati Alang mencelah dan mencadangkan agar pendidikan TVET itu diturunkan had umur seawal 13 tahun, berikutan terdapat ramai pelajar yang tinggal di luar bandar dan Orang Asli yang selepas darjah enam enggan lagi melanjutkan ke sekolah menengah.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) berkata, kerajaan akan berusaha membantu pelajar lepasan tingkatan tiga untuk mengikuti kursus program TVET.

“Saya amat menyedari trend yang sebegitu. Setakat ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memulakan kursus TVET ini selepas mereka melalui Tingkatan 3,” katanya.

Beliau memaklumkan pelajar dalam bidang tersebut akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga lima iaitu setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (tahap satu hingga tiga) dan taraf seperti Diploma (tahap empat dan lima).

Beliau berkata, ketika ini institusi TVET awam di bawah 12 kementerian, termasuk enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). – Bernama