
M Update, 17/02/2025 – Komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh mencipta kejutan apabila lagu Hening Rindu ciptaannya yang dinyanyikan oleh Marsha Milan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan lagu Hening Rindu berjaya mengenepikan pesaing terdekat seperti lagu Puas Sudah nyanyian Aina Abdul, Bukan Lagi Kita (Nadeera) dan Diam (Hael Husaini) yang diramalkan menggenggam trofi idaman ramai itu.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan Ikhwan, Wan Saleh dan Marsha membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.
Marsha gagal menahan sebak sebaik diumum sebagai pemenang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakangnya.
Naib juara AJL 39 menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini ciptaan dan lirik oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Menduduki tempat ketiga, lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret ciptaan Akim & The Majistret dan lirik oleh Bunga Cantik, melayakkan mereka menerima wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Enie Zakri yang mempertaruhkan lagu Aura memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang trofi dengan bersama wang tunai RM12,000.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik yang menawarkan ganjaran wang tunai RM12,000 dan trofi menjadi milik Aina Abdul selepas mempamerkan persembahan berkonsepkan jantung.
AJL 39 dinilai Edry Abdul Halim selaku Ketua Juri dengan dibantu Edrie Hashim, Ed Samad, Datuk Ahmad Izham Omar, LY, Fauziah Latiff, Siti Hajar, Datuk Hattan dan Datuk Fauziah Nawi.
Lebih tiga dekad sejak penganjurannya, AJL bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutama memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
AJL 39 menyaksikan gandingan antara Nazrudin Rahman dan Sissy Imann sebagai hos.
AJL 39 membuka tirai dengan persembahan daripada Wani Kayrie yang menyampaikan lagu Cindai diikuti Shiha Zikir (Asmaradana), Ara Johari (Tak Ada Logika) dan Noki K-Clique (Angkat)
Segmen Interlude dijayakan oleh penyanyi popular era 1990-an, Amir Ukays dengan menyampaikan lagu Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.
Segmen itu kemudian disusuli dengan persembahan Sham Visa menyampaikan lagu Untukmu Selamanya dan Dalam Gerimis. – BH