Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Laksana BDR Mulai 15 April

M Update, 02/04/2026 – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan bermula pada 15 April.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa pelaksanaan dasar tersebut melibatkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, butiran lanjut mengenai pelaksanaan BDR akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah memberi bayangan mengenai langkah awal yang akan diambil, termasuk menggalakkan sambutan Aidilfitri secara lebih sederhana serta pelaksanaan langkah penjimatan oleh kerajaan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan golongan berpendapatan tinggi dan berpengaruh agar tidak leka, sebaliknya menunjukkan keprihatinan dengan menghulurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan keadaan semasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata kuota program BUDI MADANI bagi penggunaan bahan api diesel telah diselaraskan daripada 95 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa semalam sebagai langkah sementara.

Selain itu, pelaksanaan pengisian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan juga telah mula dikuatkuasakan.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.