M Update, 6/8/2019 – Lawatan kerja Tun Dr Mahathir Mohamad ke Fukuoka, Jepun, disingkatkan kepada dua hari berbanding jadual awal tiga hari, sebagai langkah berwaspada susulan amaran ribut taufan, menurut pegawai dari Pejabat Perdana Menteri.
Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dijadualkan tiba di Fukuoka pada Rabu. Bagaimanapun, program Dr Mahathir yang dijadualkan di Fukuoka masih diteruskan dengan beberapa perubahan kecil, katanya. Di Fukuoka, Dr Mahathir dijadualkan menyampaikan syarahan di ‘Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun’, dan di Institut Kepimpinan Asia Kyushu, di samping menerima anugerah ijazah doktor kehormat dari Universiti Antarabangsa Jepun.
Perdana Menteri dijadual berucap mengenai ‘Bagaimana Sains dan Teknologi akan menyumbang kepada Keamanan Dunia’ di sekolah itu, Rabu ini. Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun adalah sebuah program sekolah musim panas intensif untuk pelajar sekolah tinggi supaya mereka menjadi peserta aktif dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Tahun ini adalah tahun ke-16 siri syarahan tahunan sekolah itu dan Dr Mahathir telah menjadi penyampai utamanya sejak ia dilancarkan pada 2003.
Menurut laporan media, kepulauan Jepun dilanda cuaca panas melampau sejak penghujung musim hujan pada akhir Julai, yang mengakibatkan beberapa kes kematian dan ada yang dirawat di hospital kerana mengalami strok haba. Suhu di Hakata-ku, Fukuoka hari ini diramalkan boleh meningkat sehingga 34 darjah Celsius dan sebuah aplikasi cuaca mencadangkan ‘ia terasa seperti 38 darjah Celsius.’
Antara perubahan kecil yang dibuat membabitkan jamuan makan malam yang dihoskan oleh Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun, yang dipinda daripada jadual asal Selasa kepada Rabu. – Bernama