M Update, 24/8/2020 – Kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik kerana ia merupakan pengkhianatan terbuka kepada negara tercinta.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahya berkata perbuatan memasang Jalur Gemilang terbalik atau merosakkan bendera yang dilihat masih berlaku ketika ini sebenarnya lebih daripada sekadar suatu tingkah laku buruk dan tidak bermoral.
“Perbuatan tersebut sebenarnya boleh dianggap sebagai satu ideologi yang cuba disebarkan oleh individu atau kumpulan tertentu ketika ini dan ia amat bercanggah dengan hasrat kita untuk terus mendaulatkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Pulau Pinang dengan kerjasama pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di Bagan Ajam semalam.
Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pada program itu turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada sekolah, masjid, organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan serta menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan kepada penduduk kurang berkemampuan di kawasan Bagan Ajam.
Mengulas lanjut, Shabudin berkata kerajaan tidak akan berkompromi dan bersedia untuk mengambil sebarang tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja berbuat demikian kerana ia disifatkan seperti pengkhianatan terhadap kedaulatan negara.
“Kalau perbuatan itu dibiarkan, mungkin akan sampai ke suatu tahap yang lebih meruncing kepada institusi negara, jadi kita tidak akan membiarkan pengkhianat-pengkhianat ini menyebarkan ideologi mereka kerana ia jelas menyalahi prinsip kedaulatan negara yang kita junjung selama ini,” katanya.
Sumber : BERNAMA