M Update, 15/07/2021 – Seorang warga emas yang cacat penglihatan sanggup berjalan sejauh 35 kilometer kerana hendak mendapatkan vaksin COVID-19.
Shaikh Ramly Sheikh Ahmad, 78, berjalan seorang diri dengan bertongkat dan membawa beg dari dari Kampung Kertau, di sini, ke Klinik Kesihatan Kuala Wau.
Beliau yang belum mendaftar untuk program vaksinasi mengetahui mengenai program itu daripada individu yang menghantar bantuan makanan ke rumahnya, semalam.
“Saya keluar rumah seawal jam 6 pagi kerana perlu berjalan untuk ke klinik berkenaan yang terletak agak jauh dari rumah. Saya memang harap dapat suntikan hari ini kerana saya tidak pernah mendaftar vaksinasi disebabkan tiada kemudahan teknologi, selain masalah penglihatan,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, tindakan nekad Shaikh Ramly yang berjalan seorang diri itu mendapat perhatian jurugambar, Farizul Hafiz Awang yang dalam perjalanan untuk membuat liputan program berkenaan.
Farizul menumpangkan warga emas itu yang hendak ke lokasi sama. Setibanya di klinik berkenaan, Shaikh Ramly dibantu anggota polis membuat pendaftaran di kaunter seterusnya mendapat suntikan vaksinasi.
Program vaksinasi itu dilaksanakan atas insiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang menyediakan tiga bas untuk kegunaan penduduk setempat bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – BH Online