Input your search keywords and press Enter.

Jangan Terpedaya! Individu Kumpul Dana Bantu Anak Ahli GISBH

Tan Sri Razarudin Husain

M Update, 26/09/2024 – Masyarakat diingatkan agar tidak terpedaya dengan usaha individu kononnya mengumpul dana membantu anak-anak ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang terkesan akibat tangkapan menerusi operasi dijalankan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hantaran menerusi laman Facebook itu dikesan dimuat naik oleh seorang individu. Polis menjalankan siasatan lanjut berkaitan hantaran terbabit yang didakwa ingin membantu anak-anak ahli GISBH yang kononnya terkesan.

Perkara ini dipercayai sebagai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu yang berlaku dan masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Katanya, masyarakat juga diseru agar menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan bagi kes ini.

Tahanan yang dibebaskan dengan jaminan dinasihatkan agar tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan. Polis sentiasa komited membawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan ketenteraman masyarakat terpelihara,” katanya.

Terdahulu, seramai 24 individu termasuk pimpinan utama GISBH melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan isteri disambung reman selama empat hari. Selain itu, 22 suspek lain merupakan barisan kepimpinan pengurusan syarikat berkenaan turut sama dikenakan perintah reman berkenaan.