M Update, 29/3/2019 – Pakar perunding forensik memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, tujuh tulang rusuk kiri belakang Muhammad Adib Mohd Kassim yang patah hanya dikesan ketika bedah siasat terhadap anggota bomba itu, pada 18 Disember tahun lalu.
Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Mohd Shah Mahmood berkata, kecederaan unik itu tidak dilihat ketika pemeriksaan klinikal terhadap mangsa ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), pada 30 November tahun sama.
Beliau yang sudah berpengalaman menjalankan lebih 1,000 bedah siasat sepanjang 13 tahun perkhidmatannya berkata, tulang rusuk kiri itu didapati patah secara lurus dan menegak. Saksi inkues ke-27 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-20 inkues kematian Muhammad Adib.
HAMDAN: Hasil daripada bedah siasat, jelaskan kecederaan yang unik berdasarkan bedah siasat itu?
DR MOHD SHAH: Apabila bedah siasat dijalankan, kami temui pertama kali kecederaan yang sebelum ini tidak dimaklumkan kepada kami iaitu patah tulang rusuk kiri pertama hingga tujuh dan coraknya unik dan khusus. Tujuh rusuk belah kiri (patah) yang sangat lurus dan menegak.
Menjawab soalan lain berhubung sebab kecederaan itu, Dr Mohd Shah berkata, ia mungkin disebabkan oleh objek tumpul tetapi nipis yang menghentak atau terhentak pada bahagian berkenaan.
HAMDAN: Pada masa Datuk jalankan bedah siasat itu, boleh Datuk pada masa itu dapat jawapan kecederaan berkenaan?
DR MOHD SHAH: Selepas dapati, kecederaan yang sangat unik. Kami tidak ada pengetahuan bagaimana ia berlaku… sebab masa (pemeriksaan klinikal) di IJN, kami tidak diberitahu berhubung kecederaan itu. Jadi kami mendapatkan bantuan daripada pegawai penyiasat untuk mendapatkan imej sinar-X dan imbasan CT untuk mengetahui sama ada ia terjadi semasa kejadian atau ketika mangsa dirawat di IJN. Kami pun tertanya-tanya mengenai hal ini sebab tak ada maklumat mengenai kecederaan ini.
Sementara itu, Dr Mohd Shah berkata, pihaknya tidak dapat mengetahui sebab kejadian sehingga dipanggil bagi membantu polis melakukan rekonstruksi (lakonan semula) insiden berkenaan di tempat kejadian, pada 22 Disember tahun lalu.
Katanya, di situ, pihaknya meneliti enam kemungkinan yang mungkin menyebabkan kepatahan tujuh tulang rusuk kiri pada anggota bomba berkenan. Saksi itu berkata, dua kemungkinan adalah mangsa terkena bucu kiri dan kanan bahagian belakang Fire Rescue Tender (FRT) dan empat lagi, adalah terkena dua tangga di belakang jentera berkenaan.
Kami kemudian dapati pintu depan kiri (van bomba) ada terdapat bucu bahagian pintu yang nipis dan menegak dengan anggaran dua milimeter (mm). Hanya pada ketika itu, kami berpandangan bahawa objek yang tumpul dan nipis, sangat bersesuaian dengan kecederaan unik tulang rusuk kiri patah secara menegak,” katanya.
Menurutnya, bahagian plate (kunci pintu) pula dilihat menonjol dan bersesuaian dan boleh dikaitkan dengan calar kiri sepanjang 15 sentimeter pada belakang abdomen mangsa. Hanya pada hari itu, kami baru dapatkan kecederaan yang ada pada tubuh badan Adib dengan objek pada masa rekonstruksi iaitu bucu kiri pintu yang nipis dan plate. Kami dimaklumkan bahawa ketika kejadian, kenderaan mengundur,” katanya.
Menjawab soalan lain Hamdan, saksi sama berkata, sebelum ke tempat kejadian, pihaknya tidak mempunyai pendapat yang kukuh berhubung kecederaan dialami mangsa. Sebelum itu, kami juga mengambil pelbagai pandangan termasuk mangsa dipukul, ditendang atau diterajang dan kemungkinan tersepit. Tetapi selepas lihat corak kecederaan, tidak mungkin mangsa tersepit kerana ia akan menyebabkan kecederaan yang lebih parah,” katanya.
Terdahulu, Dr Mohd Shah memberitahu mahkamah bahawa bedah siasat menunjukkan kesan kecederaan tidak menunjukkan mangsa dipukul atau diserang. Katanya, tiada apa-apa kecederaan yang menunjukkan kecederaan bercorak tangkisan atau akibat mempertahankan diri dilihat pada kedua-dua tangan dan kaki.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu. Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN, pada 17 Disember lalu
Sumber : HM Online