Input your search keywords and press Enter.

Tun Dr Mahathir Tiba di Senegal

M Update, 17/1/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Dakar untuk menghadiri persidangan mengenai Afrika, diberi penghormatan apabila ketibaannya disambut oleh Presiden Senegal Macky Sall. Pesawat khas beliau mendarat di Lapangan Terbang Leopold Sedar Senghor kira-kira 1.30 pagi tadi waktu Malaysia .

Sambutan oleh ketua kerajaan republik ini adalah satu penghormatan kepada Dr Mahathir, pemimpin negara yang dihormati dan dikagumi pemimpin Afrika.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin serta pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra.

Dr Mahathir bersama delegasi Malaysia kemudian ke Istana Presiden bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sall.

Ini lawatan pertama Dr Mahathir ke Senegal dalam tempoh 27 tahun. Kali terakhir Perdana Menteri mengunjungi republik ini pada 1992 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 15.

Dr Mahathir adalah satu-satunya ketua kerajaan dari luar Afrika yang diberi penghormatan untuk berkongsi pengalaman serta kejayaan membangunkan Malaysia hingga menjadi sebuah negara yang tersohor di arena antarabangsa pada ICEA-III.

Persidangan yang bertemakan “Kemunculan, Sektor Swasta dan Ketrangkuman” akan memberi fokus kepada usaha mempromosi dan mengukuhkan peranan sektor swasta dalam pelan pembangunan Afrika.

Malaysia dan Senegal yang menjalin hubungan diplomatik selama 33 tahun, sudah membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan.

Nilai perdagangan antara Malaysia dan Senegal pada 2017 adalah berjumlah RM372.6 juta dengan nilai eksport negara sebanyak RM364.5 juta dan nilai import dari Senegal sebanyak RM8.1 juta

Komponen eksport Malaysia ke Senegal merangkumi kelapa sawit dan produk berasaskan kelapa sawit, produk pertanian dan makanan, manakala komponen import dari Senegal merangkumi produk kapas, baja dan mineral, bahan dan produk kimia serta bahan berasaskan besi.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply