Input your search keywords and press Enter.

Dr. Mahathir terima keberangkatan Sultan Brunei esok

M Update, 4/3/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menerima keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, ia adalah bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-22 antara Malaysia dengan Brunei.

“Ini merupakan pertemuan julung kali antara Dr. Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan, iaitu platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini telah bertukar-tukar lawatan pada bulan Mei dan September 2018 susulan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri dan Sultan Brunei akan mengambil peluang semasa lawatan penting serta mesyuarat tahunan itu untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping turut meneroka potensi-potensi baharu untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.

Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali jelas Wisma Putra, akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dalam satu Majlis Santapan Tengahari semasa lawatan tersebut.

Jumlah dagangan di antara kedua-dua negara adalah sebanyak AS$981.2 juta (RM3.996 bilion) pada tahun 2018. Malaysia merupakan pelabur utama di Brunei di rantau ASEAN dengan pelaburan langsung asing dari Malaysia berjumlah AS$ 486.74 juta (RM1.9 bilion) pada tahun 2017 iaitu hampir 90.9 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing dari negara-negara ASEAN yang lain ke Brunei.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa yang telah sekian lama terjalin melalui persamaan warisan dan budaya, Wisma Putra menjelaskan, Malaysia dan Brunei berada pada landasan tepat ke arah membina usahasama dan perkongsian yang lebih menyeluruh.

Sumber : Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *