Input your search keywords and press Enter.

Suspek Pencemaran Kimia Berbahaya Didakwa Esok

M Update, 13/3/2019 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mendakwa pengusaha kilang tayar kitar semula yang juga suspek utama kes pembuangan sisa kimia berbahaya secara haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, esok.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi. Katanya, pengusaha kilang di kawasan Kulai itu adalah seorang daripada tiga suspek utama yang ditahan JAS negeri sebelum ini.

Kertas siasatan berhubung perkara itu sudah disiapkan JAS negeri dan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian serta pertimbangan dan mendapatkan izin mendakwa. Kertas pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat bersama JAS negeri di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh. Sementara itu, Bee Yin berkata, beliau sudah berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada dalang penyebab pencemaran sisa kimia berbahaya itu.

Peguam Negara bersetuju kerana menganggap kesalahan ini amat berat dan memudaratkan nyawa awam jadi antara yang dilihat termasuk mendakwa dalang terbabit atas beberapa kesalahan mengikut Kanun Keseksaan selain Akta Kualiti Alam Sekitar, ” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JAS sudah menggerakkan asetnya di seluruh negara termasuk alat pengesan gas serta 100 pegawainya ke kawasan terjejas pencemaran sisa gas kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sejak Ahad lalu, bagi menangani penularan pencemaran gas berbahaya ke kawasan lain.

Katanya, lebih banyak aset akan tiba di kawasan terjejas pencemaran bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. Cuaca hujan menyebabkan sisa kimia di sungai mendap ke tanah sebelum penguapan gas kimia berkenaan ke udara antara faktor menyebabkan kawasan lebih jauh dari lokasi pencemaran turut terjejas.

Kita sedang memasang alat pengesan gas di beberapa kawasan berisiko bagi memantau bacaan udara tercemar dan pemantauan sedang berjalan dan akan dimaklumkan selepas disahkan. Kontraktor dilantik sudah memulakan tugas membersihkan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim bermula semalam dan pegawai JAS memantau dekat kerja pembersihan dilakukan, ” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply