Input your search keywords and press Enter.

14 Maut Pertempuran Di Kem Penempatan Terbesar Sudan

M Update, 16/04/2019 – Insiden berkenaan berlaku Sabtu lalu di kem Kalma, Selatan Sudan iaitu penempatan terbesar penduduk yang kehilangan rumah akibat peperangan.

Seramai 14 orang maut dalam pertempuran di kem penempatan di Darfur, lapor agensi berita rasmi SUNA semalam.

Pemangku Gabenor. Jeneral Hashim Khalid dipetik SUNA sebagai berkata, 14 orang maut selepas terbabit dalam pertempuran di dalam kem itu, Sabtu lalu.

Beliau tidak mengulas punca kejadian atau pihak terbabit namun memberitahu, kem berkenaan dipenuhi senjata dan kumpulan yang mengancam keselamatan negara.

Katanya, Kalma turut menempatkan pemberontak dari Tentera Pembebasan Abdul Wahid – Sudan (SLA-AW), antara kumpulan yang bertelagah dengan Khartoum sejak sekian lama.

Darfur, rantau yang memiliki saiz sebesar Perancis dipenuhi dengan senjata sejak 2003 apabila pemberontak dari etnik minoriti memulakan penentangan terhadap kerajaan pimpinan Omar Al Bashir kerana mendakwa ia mengamalkan diskriminasi politik dan ekonomi.

Khartoum melancarkan operasi membasmi pemberontak dan kumpulan seumpama itu semakin berpecah, menyebabkan pertempuran kurang berlaku, sekali gus mengubah keadaan menjadi agak tenang.

Semasa era konflik, pasukan kerajaan mendapat sokongan tentera negara-negara Arab untuk memerangi pemberontak Afrika.

Kumpulan pro kerajaan paling ditakuti adalah Janjaweed, penyerang bersenjata menaiki kuda yang sering memasuki perkampungan untuk memerangi pemberontak.

Sudan mengehadkan kemasukan media antarabangsa ke Darfur, justeru tiada sebarang maklumat berhubung sebarang pertempuran dapat diperoleh. – AFP

Leave a Reply