Input your search keywords and press Enter.

Washington Digesa Bayar Kos Hospital RM8 Juta

M Update, 30/04/2019 – Bekas diplomat yang mengetuai usaha membebaskan rakyat Amerika Syarikat dari Korea Utara, mahu Washington menunaikan janjinya untuk membayar kos rawatan hospital pelajar terbabit.

Bekas wakil khas Amerika Syarikat ke Korea Utara, Joseph Yun, mengesahkan kepada Reuters, bahawa beliau ada menandatangani perjanjian dengan Pyongyang untuk membayar AS$2 juta (RM8.5 juta), sebelum pelajar terbabit, Otto Warmbier dibawa pulang.

Warmbier dibawa pulang dalam keadaan koma pada 13 Jun 2017 dan meninggal dunia beberapa hari selepas itu.

Penasihat keselamatan kebangsaan Rumah Putih, John Bolton dalam satu temubual di sebuah stesen televisyen pada Ahad lalu, berkata setakat ini, tiada sebarang pembayaran dibuat kepada Korea Utara, walaupun perjanjian sudah ditandatangani.

Yun yang bersara daripada Jabatan Negara tahun lalu, sebelum berkhidmat sebagai penganalisis hal ehwal antarabangsa di Cable News Network (CNN), berkata rangkaian televisyen itu percaya Washington wajar mengotakan janjinya.

“Pada pandangan saya, ya. Jika anda sudah menandatangani perjanjian, jika anda sudah berjanji dengan kerajaan lain bahawa Kerajaan Amerika Syarikat akan membuat pembayaran itu, saya rasa kita perlu menunaikan komitmen berkenaan,” katanya.

Yun berkata, sebaik sahaja Korea Utara mengemukakan tuntutan itu, beliau terus menghubungi setiausaha negara, Rex Tillerson, yang memaklumkannya supaya menandatangani perjanjian itu.

Mengulas sama ada beliau percaya bahawa Tillerson sudah mendapat kebenaran daripada Presiden Donald Trump, Yun berkata: “Ya, mengikut pemahaman saya, tetapi saya tidak pernah bertanya kepadanya (Tillerson), tetapi itulah yang saya faham”.

Pada Khamis lalu, akhbar Washington Post melaporkan bahawa Trump sudah meluluskan pembayaran sebanyak AS$2 juta (RM8.5 juta) kepada Pyongyang bagi membiayai kos rawatan Warmbier, yang ditahan selama 17 bulan.

Ketika mengulas perkara itu di Twitter, Trump berkata, tiada pembayaran dibuat, tetapi tidak mendedahkan sama ada sebarang perjanjian sudah ditandatangani.

Warmbier meninggal dunia di Amerika Syarikat, enam hari selepas dibebaskan dari Korea Utara.

Koroner di Ohio berkata, beliau maut akibat kekurangan oksigen dan darah yang disalurkan ke otaknya.

Namun, Pyongyang menyangkal dakwaan pelajar itu mati akibat didera, sebaliknya mendakwa ia berpunca daripada keracunan makanan dan pil tidur.

Media tempatan Korea Utara melaporkan, Warmbier, iaitu pelajar Universiti Virginia dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun selepas ditahan ketika cuba mencuri di hotel penginapannya. – Reuters

Leave a Reply