Input your search keywords and press Enter.

Keluarga Malaysia Main Peranan Pastikan Malaysia Kekal Aman, Berdaulat

M Update, 19/07/2022 – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tanggungjawab memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera bukan terletak di bahu pasukan keselamatan dan jentera kerajaan semata-mata tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama seluruh Keluarga Malaysia.

Berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN22) dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di sini hari ini, beliau berkata konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskannya sejak Ogos 2021 membawa semangat yang amat relevan dan mempunyai sinergi dengan falsafah keselamatan negara.

“Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan keluarga besar kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam keadaan selamat dan harmoni dengan berpegang kepada tiga nilai utama iaitu ‘Keterangkuman’, Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’.

“Ia juga membuktikan bahawa idea Keluarga Malaysia bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyat diutamakan seperti menjaga sebuah keluarga,” katanya.

Ismail Sabri berkata keselamatan negara merupakan satu daripada kepentingan nasional yang perlu difahami dan diselami oleh seluruh Keluarga Malaysia.

“Jika ada ahli keluarga kita yang terancam, kita akan sama-sama menghadapi dan mempertahankannya. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Malah ada falsafah mengatakan, jika kita ingin mengubah negara menjadi lebih selamat dan sejahtera, kita juga mestilah bermula daripada keluarga yang harmoni, utuh dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran dan ancaman.

Selaku Pengerusi MKN, beliau melihat dasar itu menjadi pelengkap kepada perancangan kerajaan, yang bermatlamatkan kemakmuran negara termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Amat penting bagi aspek keselamatan negara dititikberatkan dalam segenap aspek kehidupan oleh Keluarga Malaysia. Ini kerana tidak ada seorang pun yang inginkan keluarga berantakan apalagi keluarga yang tidak selamat dan tidak harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata cabaran pengurusan keselamatan negara turut merangkumi aspek kehidupan seharian contohnya dalam aspek sekuriti makanan, yang memberi impak terhadap keselamatan negara sekiranya tidak diurus dengan baik.

Beliau berkata isu sekuriti makanan tidak boleh dilihat dari sudut pertanian, penternakan dan bekalan makanan semata-mata kerana ia turut berkait rapat dengan situasi ketidakstabilan yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Konflik Russia-Ukraine, serta perubahan iklim yang ekstrem adalah contoh melibatkan kesan rantaian global, yang menyebabkan seluruh Keluarga Malaysia turut terkesan.

“Jika tiada persediaan awal dibuat, negara pasti berdepan risiko yang akhirnya menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi dan sekali gus mengakibatkan implikasi keselamatan yang serius,” katanya.

PKN22 dengan tema Keselamatan Negara, Tanggungjawab Bersama itu dihadiri oleh 300 peserta terdiri daripada ahli akademik, pemain industri dan agensi keselamatan negara yang berkongsi idea dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks. – BERNAMA