Input your search keywords and press Enter.

250,000 pelarian Rohingya terima kad pengenalan diri

M Update, 18/05/2019 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pihaknya sudah mendaftarkan lebih daripada 250,000 pelarian di Bangladesh, mempersiapkan kebanyakan mereka dengan kad pengenalan diri pertama sekali gus bukti hak mereka untuk kembali ke Myanmar di masa hadapan.

Kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), pendaftaran itu juga berperanan sebagai alat bagi penguat kuasa undang-undang membantu membanteras jenayah pemerdagangan manusia.

“Lebih suku juta pelarian Rohingya dari Myanmar kini mendaftar dan diberikan kad pengenalan diri oleh pihak berkuasa Bangladesh dan UNHCR,” kata jurucakap Andrej Mahecic kepada wartawan di Geneva.

Sejumlah 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari kekejaman tentera pada Ogos 2017 dan menyeberang masuk ke Bangladesh membanjiri kem yang sudah sedia dihuni lebih 300,000 kaum minoriti Islam yang tertindas itu.

“Proses pendaftaran yang bermula sejak Jun 2018 itu bertujuan melindungi pelarian Rohingya bagi membolehkan mereka kembali ke Myanmar secara sukarela di masa hadapan,” kata Mahecic.

Myanmar dan Bangladesh sudah menandatangani memorandum persefahaman mengenai penghantaran pulang Rohingya. Namun, setakat ini kebimbangan berhubung keselamatan dan status kewarganegaraan menjadi punca pelarian enggan pulang.

Matlamat UNHCR adalah untuk menyelesaikan proses pendaftaran semua pelarian Rohingya di Cox’s Bazar menjelang November. – AFP

Leave a Reply