Input your search keywords and press Enter.

Indonesia haramkan iklan rokok atas talian

M Update, 14/06/2019 – Indonesia, yang menjadi pengeluar rokok keempat terbesar dunia, akan membasmi iklan tembakan atas talian yang mensasarkan perokok muda, kata Menteri Komunikasi semalam.

Kumpulan aktivis kesihatan berkata, semakin ramai remaja merokok di Indonesia, yang sudah pun mengekang iklan rokok di seluruh negara, termasuk pengharaman tajaan untuk mempromosikan produk tembakau, walaupun ia tidak dilaksanakan secara konsisten oleh pihak berkuasa tempatan.

Menteri berkenaan, Rudiantara, sudah memberikan arahan kepada pasukannya supaya menyekat semua iklan rokok atas talian selepas diminta berbuat demikian oleh Menteri Kesihatan.

“Sejurus selepas menerima surat, Menteri Komunikasi dan Penerangan, Rudiantara, mengarahkan semua kandungan iklan rokok di internet diharamkan,” kata kementerian dalam kenyataan.

Rudiantara berkata, pasukannya sudah menemui kandungan itu dalam 114 saluran media sosial, termasuk Facebook, Instagram dan Youtube, yang melanggar undang-undang dan kini akan disekat.

“Kami berharap dengan menyekat iklan rokok di internet, kami boleh mengurangkan jumlah perokok, terutama dalam kalangan remaja.

“Tiga dalam empat remaja tahu mengenai iklan rokok menerusi media atas talian,” kata Menteri Kesihatan, Nila Moelek, menurut akhbar Jakarta Post.

Media di Indonesia, yang terkenal dengan ‘kretek’ atau rokok bunga cengkih, menyatakan data tinjauan kesihatan menunjukkan kelaziman merokok dalam kalangan usia 10 hingga 18 tahun meningkat kepada 9.1 peratus tahun lalu daripada 7.2 peratus pada 2013.

Kira-kira dua pertiga lelaki Indonesia merokok setiap hari, dan lebih 21 peratus budak lelaki berusia antara 13 dan 15 tahun kerap merokok, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. — Reuters

Leave a Reply