Input your search keywords and press Enter.

IPU Melebihi 500, Riau Diisytihar Darurat Jerebu

M Update, 24/09/2019 –  Wilayah Riau diisytiharkan berstatus darurat pencemaran udara berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah melebihi 500.

Gabernor Riau, Syamsuar menetapkan status darurat itu bermula semalam sehingga hujung bulan ini, bergantung kepada keadaan semasa.

Memetik media tempatan, Syamsuar berkata pemerintah Riau kini menyediakan tempat pemindahan sementara yang kondusif terutama bagi anak-anak dan wanita hamil.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, berlepas ke Pekanbaru pagi ini, bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung keadaan pelajar Malaysia di wilayah itu.

Sejak 13 September lalu, kualiti udara di Wilayah Riau dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat.

Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru sudah diarahkan bercuti sejak 13 September lalu. Terdapat seramai 214 pelajar Malaysia di universiti berkenaan.

Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia juga dilaporkan sudah diarahkan bercuti.

Difahamkan sejumlah pelajar sudah pulang sementara ke Malaysia.

Difahamkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur, bagi proses pemindahan pelajar Malaysia. – BERNAMA

Leave a Reply