Input your search keywords and press Enter.

Proton X50 Dilancarkan Secara Rasmi, Harga Bermula RM79,200

M Update, 27/10/2020 – Kemuncak penantian rakyat Malaysia terhadap model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak itu berakhir selepas dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia menerusi laman Facebook rasmi Proton Holdings Bhd (PROTON), Proton Cars sebentar tadi.

Model yang ditawarkan dengan empat varian dan dikatakan bakal mencetuskan fenomena dalam segmen SUV tempatan itu ditawarkan pada harga bermula RM79,200, sekali gus menepati jangkaan ramai pemerhati pasaran automotif selama ini.

Bagi varian Standard ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM79,200, manakala Executive RM84,800, Premium (RM93,200) dan varian tertinggi Flagship pula bermula RM103,300. Keempat-empat varian didatangkan dengan enam warna pilihan iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red dan citric orange.

Bagi tiga varian pertama, setiap model dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT. Enjin Proton X50 dibangunkan bersama Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) dan Volvo Cars.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta advanced driver assistance system yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja. Proton X50 turut menerima penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP.

Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim.

Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara di telefon pintar mereka menggunakan aplikasi PROTON Link.