Data daripada Ambank Research menunjukkan hanya terdapat pertambahan sebanyak 6,800 pekerjaan baharu pada Januari lalu dengan kadar pengangguran pada 3.4% walaupun kebanyakan penganalisis melihat kadar pengangguran kekal pada 3.3%. Menurut ketua ekonomi Ambank Research, Dr. Anthony Dass dengan paras tersebut ia telah menandakan bahawa 4 bulan berturut-turut kadar pengambilan pekerja semakin perlahan berbanding 44,000 pekerjaan yang direkod pada Disember 2018.
Tahun ini, ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang secara perlahan sekitar 4.5% dibimbangi akan meningkatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi. Apabila prospek pertumbuhan domestik dijangka perlahan pada 4.5%, ia akan memberi tekanan kepada peningkatan kadar pengangguran pada tahun ini yang boleh mencecah 3.5% berbanding 3.3% pada 2018.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh mendatar pada 4.7% tahun ini dan berkemungkinan berkembang pada 4.75% da;am tempoh jangka sederhana. Tahun lalu Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.7% pada suku keempat dengan menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2018 sebanyak 4.7% berbanding 5.9% bagi tahun 2017.
Berdasarkan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Keempat 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan 1 Mac lalu, jumlah jawatan yang ditawarkan oleh sektor swasta meningkat kepada 8.54 juta pada suku keempat 2018 berbanding 8.48 juta pada suku yang sama pada tahun 2017. Sebahagian besar jawatan adalah daripada kategori separuh mahir dan selebihnya adalah mahir dan kategori berkemahiran rendah.
Selain itu, menurut Firma penyelidikan MIDF Reseach, pasaran kerja masih didominasi oleh pekerjaan berkemahiran rendah yang menyaksikan pekerjaan asas merangkumi 77.6% peluang kerja pada tahun lalu diikuti operator dan pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi. Dalam erti kata lain, bagi setiap 100 pekerjaan yang ditawarkan pada tahun lalu, 89 daripadanya adalah berkemahiran rendah, tujuh untuk kemahiran sederhana dan empat bagi kemahiran tinggi.
Disamping itu, data MIDF Research menunjukkan sebanyak 91,300 pekerjaan direkodkan secara purata setiap bulan dan ia lebih rendah berbanding 123,000 pada tahun 2017 dan sebahagian besar pekerjaan itu disumbangkan menerusi sektor pembuatan iaitu pekerjaan dalam sebulan, pertanian, perkhidmatan dan pembinaan.
Bagi separuh pertama tahun ini, MIDF Research menjangkakan trend lebih sederhana bagi peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan disebabkan ketidaktentuan dalam dagangan global.