Realiti umat Islam zaman ini sedang menghadapi ujian dan fitnah perpecahan yang besar di seluruh dunia. Permusuhan sesama umat Islam merupakan musibah yang besar yang belum ada kesudahannya sejak jatuhnya Khilafah Islam Turki Uthmaniah pada 3 Mac 1924. Semenjak daripada tarikh itu, umat Islam semakin lemah dan jauh daripada Islam walaupun jumlah mereka ramai. Musibah yang berlaku hari ini telah diperingatkan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis daripada Thauban Radhiallahu Anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya “Adakah kerana jumlah kami sedikit pada hari itu, Ya Rasulullah?”. Nabi SAW menjawab, “Tidak. Bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati-hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu Ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Riwayat Abu Daud).
Rasulullah SAW mengambil perhatian yang amat serius terhadap kesatuan umat Islam dengan melaksanakan beberapa tindakan penting. Di antaranya ialah :
- Nabi berulang-kali menekankan pengukuhan keimanan kaum muslimin sebagai asas kesatuan. Penekanan ini dapat kita lihat dengan banyaknya ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan umat Islam supaya hidup bersatu-padu dan mengutamakan persaudaraan sebagaimana firman Allah SWT yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi, ayat 10 surah alHujuraat yang bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Nabi SAW dan para sahabat Radhiallahu Anhum mempereratkan ukhuwah Islamiah yang bertunjangkan akidah serta keimanan dengan menyuburkan akhlak mulia dan kasih sayang. Contohnya Saiyidina Bilal bin Rabah dari bangsa Habsyah, Sayidina Abu Bakar Al-Siddiq dari bangsa Arab Quraisy dan Salman Al-Farisi dari bangsa Parsi disatukan atas dasar aqidah Islam yang kukuh dalam jiwa mereka.
2. Nabi SAW dan para sahabat sentiasa bersegera memadamkan anasir-anasir yang boleh membawa perpecahan umat dengan mendamaikan pihak yang bertelingkah. Ini kerana, perselisihan yang tidak dicegah segera akan mengundang musibah perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam. Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:
“Dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”
Di samping itu Nabi sentiasa memaafkan segala kesalahan sesama manusia dan tidak menyimpan dendam. Sebagai contoh, dalam peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Nabi SAW memaafkan segala kesalahan penduduk Makkah yang pernah menindas dan menyakiti baginda dan para sahabat. Sikap Nabi SAW yang mulia ini telah menundukkan kesombongan orang-orang kafir Quraisy hingga mengubah hati mereka untuk menerima dan memeluk Islam secara beramai-ramai.
3. Nabi mengukuhkan kesatuan umat Islam dengan meletakkan perpaduan umat Islam bersama dengan bangsa-bangsa yang wujud di Madinah sebagai tunjang terpenting dalam Piagam Madinah. Dalam beberapa fasal Piagam Madinah menyatakan: Bahawa penduduk Madinah samada orang Islam atau bukan Islam adalah satu ummah, menerima Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin Negara Madinah dan Wahyu Allah (AlQuran) sebagai sumber rujukan.
Bagi merealisasikan penyatuan Umat Islam hari ini dengan berdasarkan pedoman Rasulullah SAW yang disebutkan tadi, maka segala bentuk api kebencian perlu dipadamkan dengan segera agar tidak terus merebak. Setiap individu muslim perlu berazam ke arah penyatuan ummah dengan berusaha untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Hasrat ini kita mampu laksanakannya dengan cara mengimarahkan masjid dan surau. Selain itu kita hendaklah istiqomah dalam menjaga solat berjemaah, mencintai majlis-majlis ilmu dan mengasihi para alim ulama. Begitu juga, umat Islam perlu menghidupkan semangat ithar (mengutamakan saudaranya yang lain) iaitu saling bantu-membantu sesama kaum muslimin seperti membantu dalam menyokong ekonomi umat Islam, membina jaringan sosial dan kebajikan bersama-sama.
Sumber ~ Jabatan Agama Islam Selangor