M Update, 08/04/2019 – Britain mencadangkan undang-undang keselamatan atas talian baru hari ini yang akan mengenakan penalti ke atas syarikat media sosial dan firma teknologi jika gagal melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.
Akses mudah kepada bahan merosakkan terutama dalam kalangan belia menyebabkan kebimbangan memuncak di seluruh dunia dan semakin mendapat perhatian di Britain selepas kematian pelajar perempuan, Molly Russell, 14.
Ibu bapa pelajar itu berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menonton bahan atas talian mengenai kemurungan dan bunuh diri.
Kerajaan di seluruh dunia bergelut berhubung cara terbaik mengawal kandungan di media sosial, yang selalu dipersalahkan sebagai punca penderaan, penularan pornografi atas talian, dan mempengaruhi atau memanipulasi pengundi.
Kebimbangan global memuncak dengan penstriman langsung pembunuhan beramai-ramai di masjid di New Zealand dalam Facebook.
Susulan itu, Australia menegaskan akan mendenda media sosial dan syarikat laman web dan memenjarakan eksekutif jika kandungan ganas itu tidak dibuang segera.
Dalam dokumen dasar yang disiarkan dalam media Britain, kerajaan berkata ia akan melihat kemungkinan mendenda, menyekat akses kepada laman web, dan mengenakan liabiliti ke atas pengurusan kanan syarikat teknologi kerana gagal mengehadkan pengedaran kandungan bahaya.
Ia juga akan menubuhkan pengendali untuk mengawasi peraturan itu. — Reuters