Input your search keywords and press Enter.

Kenyataan Media Lembaga Air Perak

M Update, 12/4/2019 – Lembaga Air Perak (LAP) mengambil maklum kenyataan media Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini supaya menutup Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda dalam daerah Gerik, yang terjejas akibat pencemaran.

Untuk makluman, LAP telah memberhentikan operasi LRA Ayer Ganda pada jam 6 petang 9 April 2019 seperti arahan yang dikeluarkan oleh pihak SPAN. Susulan pemberhentian operasi LRA Ayer Ganda itu, pihak LAP akan membekalkan air terawat kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Ayer Ganda melalui lori tangki dan tangki statik.

Untuk tempoh jangkamasa panjang, LAP akan membina paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak untuk menyalurkan air terawat daripada Loji Rawatan Air Lawin ke Kampung Ayer Ganda. Untuk makluman, pihak LAP sentiasa memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat untuk digunakan.

Hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter. Walau bagaimanapun, LAP menghormati dan akur dengan keputusan SPAN supaya operasi LRA Ayer Ganda ditutup.

Sekian, terima kasih.

PENGURUSAN LEMBAGA AIR PERAK

Leave a Reply