M Update, 24/4/2019 – Jaguh boling negara Rafiq Ismail dan gimnas Amy Kwan menepati ramalan apabila dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2018 di Kuala Lumpur, semalam.
Rafiq meraih emas pada Kejohanan Dunia di Hong Kong Disember lalu menamatkan penantian 39 tahun skuad boling negara selain emas dalam acara Masters lelaki pada Sukan Asia Indonesia dan gangsa Kejohanan PBA-WBT di Bangkok, September lalu.
Alhamdulillah dan saya bersyukur atas penganugerahan ini. Selepas lima kali tercalon gelaran Olahragawan akhirnya menjadi milik saya. Kemenangan ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk mengejar dan bekerja lebih keras bagi mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi,” katanya yang turut dipilih sebagai Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus bulan lalu.
Rafiq, 22, menewaskan empat calon iaitu atlet bina badan, Syarul Azman Mahen, jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang, pemenang emas pelayaran Sukan Asia Jakarta, Fauzi Kaman Shah dan pemain skuasy Nafiizwan Adnan yang meraih emas berpasukan Sukan Asia dan gangsa perseorangan Sukan Komanwel Gold Coast. Kali terakhir atlet boling negara bergelar Olahragawan adalah pada 1984 menerusi Michael Chuah.
Sementara itu emas yang diraih pada Sukan Komanwel Gold Coast melayakkan Amy meraih anugerah Olahragawati Kebangsaan. Gimnas berusia 24 tahun itu yang dipilih sebagai pemenang Olimpian 2018 turut meraih perak dalam acara berpasukan selain dua gangsa dalam acara gelung serta individu keseluruhan. Gimnas terbaik negara itu menewaskan pemain boling padang Siti Zalina Ahmad, S Sivasangari (skuasy), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling) dan Tan Li Lian (bina badan).
“Anugerah ini bukan penamat karier saya malah menjadikan saya semakin bersemangat untuk mengharumkan nama negara biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan buku lali Disember lalu,” katanya yang meletakkan sasaran ke Sukan SEA Filipina.
Selain trofi, Olahragawan dan Olahragawati turut menerima wang tunai RM20,000 dan dua tiket penerbangan kelas perniagaan disumbangkan Malaysia Airlines Berhad (MAB). Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli memeriahkan majlis selain menyampaikan anugerah. – HM Online